Saturday, April 14, 2012

BILA AL-QURAN MULA BERBICARA

sumber: encik google =)


Waktu engkau masih kanak-kanak
Kau laksana kawan sejatiku
Dengan wuduk, aku kau sentuh
Dalam keadaan suci, aku kau pegang
Aku, kau junjung dan kau pelajari
Aku kau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai kau menciumku mesra

Sekarang kau telah dewasa
Nampaknya kau sudah tidak berminat lagi denganku
Apakah aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah?
Menurutmu mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu

Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji
Sekarang aku tersimpan rapi sekali
Sehingga kau lupa dimana aku disimpan
Aku sudah kau anggap hanya sebagai pengisi stormu

Kadang kala aku dijadikan hantaran kahwin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau aku kau buat penangkal untuk menakutkan iblis dan syaitan
Kini aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan kesepian, sendirian
Di dalam almari, di dalam laci, aku kau pendamkan

Dulu, pagi-pagi, surah-surah yang ada di dalamku kau baca beberapa halaman
Di waktu petang, aku kau baca beramai-ramai bersama teman di surau

Sekarang, seawal pagi sambil minum kopi kau baca surat khabar
Waktu lapang kau membaca buku karangan manusia
Sedangkan aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla
Kau abaikan dan kau lupakan

Waktu berangkat pergi kerja pun kadang-kadang kau lupa baca pembuka surah-surahku (Bismillah)
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati muzik duniawi
Tiada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan, radiomu selalu tertuju ke stesyen radio kesukaanmu. Mengasyikkan!

Di meja kerjamu tiada aku untuk kau baca sebelum kerja dimulakan
Di komputermu pun kau putar muzik kegemaranmu
Jarang sekali kau putar ayat-ayat aku
Emel yang ada ayat-ayat aku pun kau abaikan
Kau terlalu sibuk dengan urusan duniamu
Benarlah dugaan ku bahawa kau kini sudah benar-benar hampir melupaiku

Bila malam menjelma kau tahan bersengkang mata berjam-jam menonton televisyen
Di depan komputer berjam-jam kau betah duduk
Hanya sekadar membaca berita  murahan dan gambar sampah
Waktu pun cepat berlalu
Aku semakin kusam dalam laci-lacimu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal ramadhan sahaja kau membaca ku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku
Dengan suara dan lafaz yang tak semerdu dahulu
Kau pun kini terangkak-rangkak membaca ku

Bila kau dikubur sendirian menunggu kiamat tiba
Kau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio, hiburan atau komputer dapat menolongmu?
Yang pasti ayat-ayat Allah yang ada padaku menolongmu
Itu janji tuhanmu, Allah Taala

Sekarang kau begitu enteng membuang waktumu
Setiap saat berlalu dan akhirnya
Kubur yang setia menunggumu
Kau pasti kembali, kembali pada tuhanmu

Jika aku kau baca selalu dan hayati
Di kuburmu nanti
Aku akan datang sebagai pemuda gagah dan tampan
Yang akan membantu kau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat
Dan akulah al-Quran, kitab sucimu
Yang sentiasa setia menemani dan melindungimu

Peganglah aku kembali. Bacalah aku setiap hari
Kerana ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat yang suci
Yang berasal dare\i Allah Azzawajalla
Tuhan yang maha Pengasih dan maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril kepada Rasulmu
Keluarkanlah segera aku dari almari, lacimu
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu
Agar kau sentiasa ingat akan tuhanmu.

Baca dan pelajarilah aku.
Setiap datangnya pagi, petang dan malam walaupun sepotong ayatku
Seperti dulu, seperti kau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan kau biarkan aku sendiri
Dalam bisu dan sepi.


Jaga iman. Jaga akhlak. Jaga ibadah. Jaga diri.

No comments:

Post a Comment