Thursday, July 05, 2012

IMAN ASAS KEHIDUPAN


Bismillahirrahmanirrahim. 
Assalamualaikum =)

IMAN. Apa ertinya iman? Maksud iman ialah mempercayai di dalam hati, mengaku dengan lisan dan mengamalkan dengan perbuatan atau anggota. Iman ialah mempercayai Rukun Iman dengan tidak mengesyaki dan ragu-ragu, kepercayaan yang tetap yakin tidak bergoncang dan berdolak dalik,tidak ada kesamaran dan keraguan dalam hati dan perasaan. Iman juga dikaitkan dengan akidah iaitu satu ikatan tali yang kuat dan kukuh. Ketika Jibril A.S. bertanya kepada Baginda Rasulullah S.A.W tentang iman maka Rasulullah S.A.W menerangkannya yang bermaksud:

"Iman itu ialah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-malaikatnya, Kitab-kitabnya, Rasul-rasulnya serta Hari Akhirat dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah). Baiknya dan buruknya..." ( Riwayat Muslim )

Cuba hayati petikan dibawah ni.

***

Saya nak sangat jadi macam perempuan-perempuan lain yang bersosial.
Saya nak sangat pakai lawa-lawa bergaya bila keluar jalan-jalan.
Saya juga teringin pakai shawl, tudung yang jarang.
Saya juga mahu couple macam orang lain.
Saya juga mahu masuk panggung tengok wayang.
Saya nak sangat pakaian saya ikut fesyen ketat, nipis.
TAPI kerana secebis iman didada membatasi untuk saya melakukan semua itu...

Bila nak bersosial sikit iman kata jangan, ini hanya kehidupan dunia tidak kekal.
Bila pakai lawa-lawa terlalu over, iman kata pakaian macam ni buat lelaki tergoda dan pandang hanya kerana nafsu.
Bila letak shawl atas kepala, iman kata jika terlebih cantik mata semua memandang.
Bila nak couple, iman kata cinta manusia tidak kekal.
Bila nak melangkah kaki masuk ke panggung, iman kata jangan suatu hari nanti anak-anak akan ikut langkah kita.
Bila nak pakai pakaian ikut fesyen, tiba-tiba iman berkata kenapa kita nak buat perkara yang dilarang Allah?

Tiba-tiba nafsu bersuara. Ahh, susahnya nak goyahkan iman perempuan ni! Inilah perempuan yang beriman taat pada perintah Allah.

***

Kenapa iman itu penting?  Iman itu penting untuk membentuk modal insan yang cemerlang di dunia dan juga akhirat. Iman dapat membentuk insan cemerlang dengan menghayati segala suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.

Jika Iman berkurangan dalam diri atau tiada iman langsung maka akan wujud kecenderungan untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan tanpa rasa takut dan menyesal. Antara contoh-contoh masalah iman di kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah seperti berikut:

i. Timbul pelbagai bentuk ajaran sesat.
ii. Keruntuhan moral di kalangan muda mudi.
iii. Derhaka kepada ibu bapa.
iv. Keruntuhan institusi kekeluargaan.
v. Pendedahan aurat yang berleluasa.
vi. Perzinaan, meminum arak dan perjudian di kalangan umat Islam.

Dengan itu, terdapat langkah-langkah untuk menguat dan mengukuhkan iman terhadap Allah S.W.T, antaranya adalah: 

i. Taat segala perintah Allah.
ii. Menunaikan segala tanggungjawab Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.
iii. Meninggalkan segala larangannya

InsyaAllah. Jika kita yakin dengan Allah, kita beriman dengan-Nya, pasti Dia akan membantu kita. 

Jom kita habis-habisan lawan nafsu demi mencari matlmat hidup kita iaitu redha-Nya.

"Segala sesuatu yang kamu pisahkan daripada kamu pasti ada penggantinya, kecuali Allah. Jika kamu pisahkan Allah daripada hidupmu nescaya tiada pengganti-Nya." (Imam al-Ghazali)

No comments:

Post a Comment